RSS

Monthly Archives: August 2008

Perkara Yang Susah Adalah Masalah

Lamunan saya terhenti apabila bunyi handset menandakan ada SMS masuk. Kekunci handset saya tekan untuk membaca sms tersebut.

Di dalam hati terdapat kekusutan yang tidak bisa diurai kecuali dengan menghadap Allah.
Di dalam hati terdapat kesepian yang tidak bias dihilangkan kecuali dengan menyendiri dengan Allah.
Di dalam hati ada kesedihan yang tidak terhapus kecuali dengan kebahagiaan mengetahui Allah dan berinteraksi secara sungguh-sungguh denganNya.
Di dalam hati terdapat kegelisahan yang tidak bisa tenang kecuali berkumpul dan datang kepadaNya.
Di dalam hati juga terdapat keperluan yang tidak bisa dipenuhi kecuali dengan cintaNya.
Kembali kepadaNya…selalu mengingatiNya dan ikhlas keranaNya…”

Walaupun sms tadi tidak saya balas. Tidak bermakna saya tidak hargainya. Biarlah…saya pulangkan rasa kesyukuran saya….rasa terima kasih saya kepadaNya kerana mengurniakan sahabat yang cukup memahami kesulitan saya. Walaupun duduk berjauhan…. Semoga dia dirahmati Allah selalu.

Tidak dapat dinafikan. Sebagai seorang hamba yang kerdil lagi hina, kita rasa penat dengan masalah yang kita hadapi. Selalu kita menilai perkara yang susah itu adalah masalah bagi kita. Kita lupa perkara yang susah itu adalah datang daripadaNya dan hanya kepadaNya sahaja perkara yang sedemikian rupa dapat dikembalikan.

 
3 Comments

Posted by on August 27, 2008 in Luahan Hati

 

Undian Penentu Corak Pemerintahan


“Ala kak, kenapa seluruh Penang cuti ? Permatang Pauh dah lah..Saya ada kelas hari Selasa, nanti kena ganti lagi. Saya tak suka kelas ganti” keluh saya.
“Lebih baik cuti seluruh Penang sebab tak semua pengundi Permatang Pauh kerja kat Permatang Pauh. Kalau tak, susah mereka nak mengundi” Jawapan yang ringkas tetapi padat diberikan kepada saya.
“Ooo.. ye ke.. Tak terfikir pula saya”

Sistem demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia memberi peluang kepada rakyatnya memilih pemimpin yang dirasakan berkebolehan untuk memimpin mereka. Sebagai umat Islam seharusnya pemimpin yang dipilih adalah pemimpin yang mampu menjaga agama Islam. Pemimpin yang bukan sahaja mampu menjaga perkara dunia tetapi juga mampu menjaga akhirat rakyatnya.

“Ya Allah ya Tuhanku. Hambamu ini tidak lagi mampu menjaga agamaMu di bumi Kelantan ini. Kami ditekan di segenap penjuru. Ya Allah, Engkau peliharalah negeri ini seperti mana Engkau memelihara rumahMu daripada serangan tentera Abrahah” Pemimpin mana lagi yang mampu mengungkapkan doa sedemikian rupa…

 
Leave a comment

Posted by on August 27, 2008 in Politik dan Dakwah

 

Mengenal Diri

Allah menganugerahkan manusia ini pelbagai karenah. Manusia boleh dikategorikan kepada tiga sifat iaitu akal, perasaan dan fizikal. Seseorang mampu menguasai individu lain apabila dia mampu meletakkan individu tersebut dalam ketiga-tiga sifat tadi. Manusia yang seimbang adalah manusia yang yang mampu menguasai ketiga-tiga sifat tersebut. Ketiga-tiga sifat tersebut ada pada Rasulullah S.A.W. Manusia biasa sukar untuk memiliki ketiga-tiga sifat tersebut.

Manusia yang sifatnya pada akal bermaksud dia merupakan individu yang memerlukan hujah yang berfakta untuk setiap persoalan yang dikemukakan olehnya. Manusia yang sifatnya pada perasaan pula tidak memerlukan kepada hujah tetapi cukup hanya dengan menyentuh hatinya. Contohnya melalui pujukan, atau dengan bercerita mengenai kasih sayang ibu. Manakala manusia yang sifatnya pada fizikal merupakan individu yang mempertahankan hujahnya dengan perbuatan. Contohnya bergaduh dan pukul.


Begitu juga dalam memahami hati manusia. Hati adalah perasaan. Jadi utuk memahami segala persoalan yang bersangkutan dengannya tidak boleh sama sekali untuk kita mencari hujah yang berlandaskan akal fikiran dan kekuatan fizikal kecuali sekiranya ada dalil-dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Sebab itu dalam memahami kewujudan Allah S.W.T, firman Allah banyak menyuruh kita berfikir melihat ciptaannya (perasaan), mengkaji (akal) dan merjalan keseluruh pelusuk dunia (fizikal). Semuanya adalah kerana manusia tidak mampu mengenal Allah S.W.T hanya melalui akal, fizikal ataupun perasaan semata-mata.

 
Leave a comment

Posted by on August 27, 2008 in Usrah ISDEV

 

Malang Sungguh Diri Kita

Kita kadang-kadang lupa yang bala ditimpakan kepada kita ada empat bentuk iaitu bala menghapuskan dosa, bala berbentuk pembalasan Allah, bala untuk meninggkatkan darjat dan bala yang terakhir ialah bala untuk uji sekuat mana iman kita kepadaNya.

Sering kali apabila datang bala, musibah, masalah, ujian, dugaan dan perkataan-perkataan lain yang seangkatan dengannya kita terlalu cepat bersedih hati, sehingga kita lupa akan hikmah disebalik ujian yang Allah timpakan kepada kita.

Susah sungguh untuk kita berbaik sangka dengan Allah S.W.T sehinggakan kita menyalahkanNya di atas segala perkara yang tertimpa ke atas kita. Kita tidak sedar yang bala itu dikurniakan ke atas kita untuk kebaikan kita.

Kita lupa yang kita banyak buat dosa kepadaNya. Lalu Allah turunkan bala untuk menghapuskan dosa yang ada pada kita.

Kita langgar perintah Allah. Walaupun Allah kata jangan, tapi yang itulah kita buat. Tetapi dengan kasih sayang Allah, Dia turunkan bala kepada kita sebagai balasan kita di atas perbuatan kita. Supaya Akhirat nanti kita tidak dibalas olehNya kerana di dunia kita telah mendapat balasan tersebut.

Kita salahkan Allah S.W.T yang menurunkan pelbagai bala bencana kepada kita. Malang sungguh diri kita. Kerana kita tidak mampu menilai bahawa bala, ujian dan dugaan yang Allah turunkan kepada kita untuk menaikkan darjat kita. Supaya kita hampir kepadaNya berbanding manusia lain di sekeliling kita.

Kita kata, kita telah beriman kepada Allah tetapi rupa-rupanya iman yang kita katakan tadi tidak sampai piawaian yang Allah tetapkan untuk kita. Kita lupa firman Allah “…adakah kamu katakan kamu telah beriman, sedangkan kamu masih belum diuji”

Malang sungguh diri kita…

* Pembahagian bala tersebut diceritakan oleh Ust Muhammad Kazim Elias Al-Hafiz dalam siri kuliah Tauhidnya yang bertajuk Hukum Allah

 
Leave a comment

Posted by on August 27, 2008 in Tazkirah

 

Kejayaan Itu Pemberian Allah, Usaha Itu Milik Kita

“Manusia ni macam-macam kak. Saya sendiri pun tak sangka. Lepas pergi camping hari tu, baru saya tahu pentingnya saya ada kat situ” Luah hati seorang junior kepada saya.

“Kenapa cakap macam tu, Kak Radieah tak faham?” tanya saya inginkan penjelasan.

“Mula-mula berat sangat hati nak pi. Tapi sebab kena penuhi syarat paper jadi terpaksalah pi. Tapi bila saya pi, saya rasa bersyukur sangat. Pergaulan tak payah cakaplah memang dah bebas tapi sekurang-kurangnya bila ada kami benda tu terkawallah sikit”

“Betul tu Kak Radieah. Saya pun rasa macam tu. Manusia ni macam-macam. Ada yang solat, ada yang tak kesah. Ada yang saya jumpa seorang sahabat ni, cukup jaga solat dia. Solat awal waktu, kalau orang lain lambat solat dia akan tegur. Kalau nak tidur dia akan ambil wuduk. Saya pun malu dengan dia. Tapi masalahnya dia tak pakai tudung. Entahlah..bagi saya mungkin solat yang dia tunaikan tak mampu lagi mencegah dia daripada melakukan perkara mungkar. Solat dia tak masuk ke dalam hati dia. Em…” Cerita seorang junior lain yang turut pergi di akhiri dengan keluhan kecil dihujungnya.

“Sama lah juga macam Kak Radieah pun. Ada sorang junior ni, setiap hari solat dhuha. Kak Radieah pun tak solat macam dia. Tapi pakaian tak berapa nak kena. Entahlah..”

Kata orang banyak udang, banyak garam, banyak orang, banyak ragam. Apa pun kalau tak boleh nak buat semua jangan tinggal semua. Sebab Allah tak menilai kejayaan kita tetapi yang Allah nilai usaha kita. Kejayaan itu pemberian Allah, usaha itu milik kita.

 
Leave a comment

Posted by on August 27, 2008 in Tazkirah

 

Percaturan Hidup


Konsep Imam As-Syafie dalam menentukan hukum-hukum fiqh adalah berat sedikit berbanding dengan mazhab fiqh yang lain. Ia berlaku kerana sikap hati-hati dan menjauhkan sifat ragu-ragu dalam menjalani ibadah telah membuatkan hukuman sedemikian rupa dijatuhkan terhadap sesuatu perkara. Contoh yang paling mudah ialah hukum bersentuhan antara kulit lelaki dan permpuan yang anjabi sama ada secara sengaja ataupun sebaliknya dihukumkan membatalkan air sembahyang. Namun menurut mazhab lain ia tidak membatalkan air sembahyang kecuali timbulnya syahwat.

Imam As-Syafie mengakui perkara tersebut kerana adanya hadis yang sahih berkenaan hal tersebut. Tetapi persoalan yang ditimbulkan oleh Imam As-Syafie dalam menentukan bagaimana untuk mengetahui timbulnya syahwat kerana perkara tersebut subjektif, jadi untuk menjauhkan perasaan ragu-ragu Imam As-Syafie telah menjatuhkan hukum batalnya air sembahyang. Perasaan ragu-ragu adalah mainan syaitan dalam kehidupan harian manusia terutama sewaktu melakukan ibadah. Hukum yang telah ditentukan oleh Imam As-Syafie telah menjauhkan umat Islam daripada bisikan syaitan yang tidak pernah putus asa dalam menyesatkan kita.

Hidup ini adalah satu percaturan. Sering kali akan timbul perasaan ragu-ragu, curiga dan sebagainya dalam kehidupan kita. Oleh itu, berusahalah untuk menjauhkan diri kita dari perasaan ragu-ragu. Perasaan ragu-ragu dapat di atasi dengan memberatkan sedikit sesuatu perkara yang membuatkan kita ragu-ragu seperti mana yang dilakukan oleh Imam As-Syafie.
Perasaan ragu-ragu selain dari mengganggu kita sewaktu melakukan ibadah, ia juga sering mengganggu kita sewaktu dalam perhubungan antara muslimin dan muslimat. Sebab itu, untuk menghilangkan perasaan tersebut, beratkanlah hubungan tersebut. Maksud memberatkan hubungan di sini ialah tidak perlulah selalu berhubung sama ada sewaktu bergerak kerja, sewaktu proses pembelajaran ataupun dalam usia pertunangan. Berhubung hanya pada perkara yang perlu. Janganlah pula dipersoalkan perkara yang perlu itu, perkara yang semacam mana. Sebab kita sebenarnya akan merumitkan lagi keadaan seperti mana peristiwa Nabi Isa A.S dan Bani Israel sewaktu baginda memerintahkan menyembelih seekor lembu. Apabila mereka terlalu banyak mempersoalkan tentang lembu tersebut, mereka hampir tidak dapat menemui lembu yang dimaksudkan.

Saya hanya melemparkan cadangan. Bukan untuk ikutan kerana saya bukanlah arif dalam hal yang sedemikian rupa. Bagi saya konsep ikhtilat itu mudah, tetapi kita merumitkan keadaan. Percaturan hidup kita tidak sukar sekiranya kita mampu menghilangkan perasan ragu-ragu, ditambah dengan ilmu yang kita amal untuk menempuh hidup yang Allah S.W.T tentukan sebagai medan perjuangan. Akhirat nanti perjuangan kita Allah akan tentukan sama ada kita berjaya atapun kecundang.

 
Leave a comment

Posted by on August 27, 2008 in Tazkirah

 

Alahai…Pak Cik Polis

Bila duduk berkumpul sudah tentu banyak cerita yang keluar. Ada saja perancangan yang ingin dibuat memandangkan Pulau Pinang diistiharkan cuti sempena pilihan raya (PR).
“Jomlah kita pi Darul Salam. Kat situ banyak buku. Kalau nak pi, ana bawa satu motor enti bawa satu motor”
“Yelah tu. Banyak buku nak beli? Pitih nak korek mana?. Nak bawa motor, ana mana ada lesen. Dahlah polis banyak jaga waktu PR ni. Enti tak dengar cerita ke ana kena tahan dengan polis?”
“Haa, ye ke?”

“Yelah…ana pi dengan Jannah. Jannah bawa motor. Jannah ada lesen tapi ‘L’. Tak sangka pula kena tahan. Bila kena tahan dengan polis, polis tu suruh bawa keluar lesen. Kami dah pucat dah. Bawa keluar lesen pun perlahan je…”
“Abis tu polis buat ape?”
“Jannah cakap, tengah buat lesen tapi tak dapat lagi. Polis tu cakap ‘kena saman dah ni, kena saman dah’ banyak kali dia ulang perkataan tu. Lepas tu polis tu tanya kami ni student ke?
“Lepas tu dia cakap ‘ha, ni nak motor ni baca doa tak? Jannah cakap, dia baca ‘Cuba baca sikit nak dengar’ Jannah pun bacalah ‘Subhannallazi…..’ sampai habis..dalam hati ana kata ‘biar betul polis ni, betul-betul k,e main-main?’ Ana takut pun ada, nak gelak pun ada masa tu, ada ke patut tanya macam tu, yang Jannah pula dok layanlah polis tu. Lepas tu polis tu tanya lagi Ha, terjemah maksud ‘alhamdulillahi rabbil ‘alamin……(Surah Al-Fatihah, ayat 2) Lepas tu Jannah macam pening-pening sikit nak jawap. Yelah dahlah tengah ketaq, tanya pula benda macam tu. Lepas tu Jannah kata ‘Ha..ingat dah, ingat dah.. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam’ Polis tu cakap ‘Emm..segala puji bagi Allah’ dia tekan sungguh lah suara dia kat ‘segala puji bagi Allah’ tu. Lepas tu dia lepas kami. Tak kena saman…adoi..lawa betul”
Kami semua menahan ketawa kerana geli hati dengan kisah yang berlaku.
“Muka polis tu macam mana? Boleh dia tanya soalan macam tu?” tanya seorang sahabat.
“Muka dia serius. Tapi tulah..ana pun pelik..takut pun ada nak gelak pun ada bila dia tanya soalan macam tu. Tapi tahan jelah, takkan nak gelak kot”

Banyak perkara yang berlaku sebenarnya berlaku di luar jangkaan kita. Kita rasa sepatutnya perkara yang akan berlaku begitu dan begini tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Kita selalu meramal perkara yang akan berlaku di masa hadapan tetapi kadang kala ramalan kita betul, kadang-kadang sipi-sipi, kadang-kadang tidak tepat langsung. Hakikatnya kita merancang, Allah juga merancang. Tetapi perancangan Allah membatasi perancangan manusia….wallahu’alam.

 
Leave a comment

Posted by on August 27, 2008 in Ragam Kehidupan