RSS

Monthly Archives: November 2014

Belajar

Konvo

UPSR: Tahniah kepada yang dapat banyak A. Yang tak dapat banyak A pun tak apa. Jangan pernah kecewa. Hidup ini bukan berlandaskan kepada banyaknya A yang anda dapat. Tapi bagaimana ilmu yang ada dapat itu anda gunakan. Ia menentukan bahawa anda belajar untuk menjadi manusia yang matang.

SEJARAH HIDUP SAYA: Saya bukan pelajar yang hebat. Kelas pun duduk di kelas terbelakang. Tapi walaupun kelas terbelakang, saya belajar menjadi manusia yang berdisiplin. Waktu cikgu tak masuk kelas, saya mengadap kitab cuba menghafal patah-patah bahasa Arab yang amat sukar untuk otak saya menyerap masuk perkataan tersebut. Tapi tetap juga gagal. Dalam 20 perkataan, otak saya mampu menyerap 5 perkataan. Selebihnya lupa… Entahlah, susah betul nak ingat. Kegagalan ini membuatkan saya selalu gagal dalam peperiksaan. Kegagalan ini juga membuatkan saya berada di kelas terbelakang.

DENDA – sinonim dalam kehidupan saya selaku pelajar terutama di sekolah menengah. Kegagalan saya dalam menghafal jugalah yang membuatkan saya sering didenda. Saya juga pernah didenda berdiri di hadapan perhimpunan sekolah. Puncanya saya gagal memenuhi tahap minimum yang sekolah tetapkan. Malulah. Memang memalukan. Tapi nak buat macam mana. Saya dah berusaha, tetapi tetap juga gagal.

TIBA-TIBA MASUK UNIVERSITI – Kegagalan demi kegagalan saya lalui. Tiba-tiba macam mana boleh masuk universiti?
UPSR – 2A,2B, 1C.
PMR – 4A,2B, 1C, 1D
SPM – 3A, 4B, 1C, 1D

DOA. Itu sahaja.. saya cuma berdoa supaya Allah tempatkan saya di tempat yang terbaik. Tempat yang boleh dekat dengan DIA. Saya cakap pada Allah, saya tak pandai. Saya minta Allah pandaikan saya. Maka, DIA yang atur saya ke USM.

STPM – 3.22 Keajaiban dari Allah… Saya diterima masuk USM dengan keputusan tersebut. Bukan itu sahaja. Dengan keputusan itu, saya juga telah menerima anugerah STPM terbaik daripada Cik Puan Muda Pahang Datuk Seri Julita Aishah. Bermula daripada situ saya mula menerima pelbagai anugerah sama ada pada peringkat nasional mahupun universiti.

SEBAB APA YA: Saya pun tak tahu. Cuma, saya tidak pernah benci guru saya. Walaupun selalu salah tanggap berlaku keatas diri saya. Contoh, cikgu saya tersalah mengira markah peperiksaan saya. Kesalahan tersebut membuatkan saya terpaksa berdiri di hadapan perhimpunan sebagaimana yang saya ceritakan sebelum ini. Tapi saya tak marah… Sungguh saya tak marah. Saya tak simpan sebarang dendam walaupun pada ketika saya berdiri hampir selama dua jam di perhimpunan tersebut. Cuma saya rasa malu (Tapi kalau tanya hari ini, saya seronok je cerita pengalaman saya berdiri depan perhimpunan 😉 . Di universiti pun sama. Banyak perkara yang berlaku disebabkan salah anggap pensyarah terhadap saya. Tapi saya tetap akur. Saya biarkan diri saya ditegur dan dimarahi.

DI UNIVERSITI – Allah bagi macam-macam kejayaan pada saya. Terima kasih Allah. Sehingga hari ini saya masih di sini walaupun telah peroleh PhD. Kerja di universiti ini merupakan kerja yang memenatkan. Akibat selalu mengadu kepenatan, anak saya mula memahami keadaan saya. “Hari ini ummi penat?”.
“Penat. Kerja sampaikan ilmu ini susah”. Jawab saya.
“Tapi Aiman nak jadi macam ummi. Nanti dia panggil, Dr. Radieah Mohd Nor” Sambil meniru suara pengumunan nama saya sewaktu majlis convocation yang lepas.
“Eh.. mana ada dia panggil ‘Dr’. Pandai-pandai je Aiman ni”. Aiman ketawa.
“Belajar tu bukan untuk nama kita kena panggil, bukan juga untuk dapat hadiah sayang Ummi”. Kata-kata saya hanya terhenti setakat itu.

“Aiman, tak seronok pun jadi macam ummi. Belajar ni bukan untuk dibanggakan. Ummi dah lalui tiga convocation. Convocation pertama (Sarjana Muda), ummi agak teruja. Convocation kedua (Sarjana), ummi dah mula boring. Convocation terakhir (PhD) ummi dah penat, dah letih. Ummi hadir ke convocation bukan kerana majlis tersebut. Tetapi untuk meraikan orang yang hendak meraikan kita. Sekadar meraikan orang lain. Itu sahaja… Tidak ada makna pun disebalik topi bulat yang ummi junjung pada hari tu. Cuma bila dah junjung topi bulat tu nanti, jangan berhenti belajar. Antara sebab kenapa ummi masih di sini. Bekerja di tempat yang masih perlu belajar. Bila kita semakin tinggi sijil pendidikan yang kita peroleh, akan ada juga orang yang mengatakan kita belajar untuk kebanggan, untuk kemegahan. Pesanan ummi, biarkan sahaja mereka berkata macam tu. Sebab Allah telah katakan bahawa Allah akan tinggikan manusia yang berilmu itu beberapa darjat. Allah yang berkuasa meletakkan darjat kita di sisi-Nya dan di sisi manusia, bukan orang tersebut. Orang yang berilmu akan menganggap darjat itu sebagai anugerah dari Allah dan pasti ia diiringi amanah. Dan sudah pasti ia bukan untuk bermegah”. Ummi hanya cakap dalam hati, sebab Aiman masih belum boleh memahami tugas berat yang ummi pikul kini.

Bila fikir balik, sedih sebenarnya…

Advertisements
 
4 Comments

Posted by on November 27, 2014 in Dunia Penyelidikan

 

Tags: