RSS

Category Archives: Ragam Kehidupan

Jerebu tu Allah Buat

Jerebu

Jerebu

Malaysia, Indonesia dan Singapura. Ketiga-tiga negara ini dilanda jerebu sekarang. Macam-macam cara penyelesaian cuba dilakukan oleh ketiga-tiga negara. Ada yang cuba membuat pembenihan hujan, ada yang buat solat istisqa (minta hujan), ada yang menawarkan bantuan kewangan kepada Indonesia untuk menyelesaikan masalah tersebut, ada yang memberi topeng percuma kepada penduduk, pengistiharan darurat, penutupan sekolah dan pusat pentadbiran kerajaan dan banyak lagi perkara lain dilakukan kerana jerebu.

“Jerebu tu apa ummi?”

“Jerebu tu macam asap. Ada racun. Bahaya duduk kat luar sekarang. Mari masuk”. Bila Aiman yang usianya dua tahun bertanya tentang jerebu, bukan mudah memberi jawapan.

“Siapa buat jerebu ummi?” Tanyanya lagi.

“Orang buat. Bila kita bakar sampah, bakar hutan.. jadi asap. Asap tu bila banyak sangat bahaya untuk kita”.

“Allah buatkan Ummi. Sebab orang tak sembahyang. Allah marah”.

Saya hanya tersenyum dengan jawapannya. “Ya, betul Aiman. Allah marah orang tak sembahyang”.

Aiman akan selalu tanya siapa buat setiap perkara yang berlaku. Siapa buat kemalangan? Siapa buat hujan? Siapa buat banjir? Siapa buat ribut? Siapa buat tsunami? Siapa buat itu? Siapa buat ini?

Selalunya jawapan saya Allah buat. Tapi bila kali ini saya berikan jawapan secara saintifik, Aiman tidak boleh menerima jawapan yang saya berikan. Alhamdulillah.. Dia dah mula faham.

Letakkanlah Allah itu di hadapan setiap perkara.

Allah buat untung ingatkan kita.

 
Leave a comment

Posted by on June 25, 2013 in Ragam Kehidupan

 

Tags: ,

"…. Ulu tu apa?"

“Pak cik, pak cik buat apa tu?” Tanya anak jiran saya yang pada mulanya leka bermain dengan abang dan adiknya.

“Tengah buat ulu parang”. Jawab ayah saya.

“Ulu parang, ulu tu apa?” tanyanya kehairanan. Adik dan abangnya tadi yalng leka bermain juga berhenti memerhatikan ayah.
Baru tadika, logiklah kalau perkataan ‘ulu’ tidak diketahuinya.

“Ulu parang tak tahu? Kalau kita pegang pisau kita pegang kat mana?” Tanya saya sambil menyidai kain.
“Pegang kat tempat yang warna hitam” Jawabnya.
“Ha, tulah nama dia ulu… yang warna hitam tu ulu. Tapi yang tu ulu pisau… yang ni ulu parang”. Terang saya lagi.

“Oooo.. tapi tak macam ulu parang pun. Macam dinosaur…” Jawabnya.
” Tak lah macam kura-kura”. Bantah abangnya.

Macam dinosaur.. kura-kura? Tanya saya sendirian. Lalu saya perhatikan tunggul kayu yang sedang ayah bentuk menjadi ulu parang… bolehlah. Dinosaur pun boleh… kura-kura pun boleh.
Dua beradik tadi terus mempertahankan apa yang dilihatnya tadi… seorang kata dinosaur, seorang kata kura-kura.

Belum siap lagi, memanglah tidak seperti ulu parang.
Itulah hobi ayah saya… yang saya pernah katakan bahawa ayah saya sangat kreatif orangnya dalam comment entry bertajuk “Mak Cik, ni ke Barli?

Ramai yang menempah dan membeli parang dari ayah. Saya pujuk ayah supaya ayah hebahkan dalam internet. Tetapi ayah tidak mahu. Banyak sangat alasnnya. Antaranya takut orang salah guna. Nanti kena soal siasat payah katanya… “mana ayah ingat sape yang beli” tambahnya lagi.

Baru-baru ini ayah masuk surat khabar Berita Harian, 2 Februari 2010. Berkenaan 69 guru besar dan pengetua berbai’ah laksanakan tugas dengan baik.

Kata ayah, “Sebanyak 69 orang yang ada, ayah satu-satunya yang masuk surat khabar” Bertuahlah katakan… begitulah gurauan ayah. Saya tercari-cari dalam arkib Berita Harian dalam laman webnya untuk mengambil gambar tersebut dalam bentuk ‘softcopy’ tetapi tidak ada berita tersebut. Jadi entry ini tidak dapatlah saya tunjukkan gambar itu. Sorry..

Tetapi lain pula dengan Chik Lah…
“Chik Lah, ayah dah masuk surat khabar, awak bila pula?” Tanya saya.
“Umm.. tak nak lah. Nanti orang pijak-pijak je… tak nak lah masuk surat khabar”. Jawabnya.
Pelik-pelik je jawapannya… emmm…

 
2 Comments

Posted by on February 23, 2010 in Ragam Kehidupan

 

"Mak Cik, ni ke Bali?"

“Awak tu semua tak kenal. Nangka dengan cempedak kenal tak?” Tanya ayah saya kepada anak bongsunya.
“Tak” jawabnya sambil tersengih.
“Teruk betullah awak ni..” Sampuk saya.

“Alah Chik Lah tu lagi teruk. Dia tanya mak cik kat kedai tu, yang mana bali”
“Chik Lah tanya macam mana?” Tanya saya kehairanan.
“Dia tanya.. ‘mak cik, ni bali ke?.. lepas tu mak cik tu cakap ‘ye sayang’…” Ceritanya ringkas.
Suasana di dapur riuh rendah dengan gelak tawa dari kami.

“Chik Lah.. awak tanya mak cik tu mana satu bali?” Tanya saya
“Ala, biarlah orang* tanya. Nanti wan** marah pula, salah beli bali” Jawab Chik Lah mempertahankan diri.

“Chik Lah.. benda pelik-pelik je dia buat kat dapur. Ada pula orang suruh potong petola dia lukis gambar orang”. Mak pula mula bercerita.
“Mana ada orang lukis gambar orang. Memang dah ada. Potong-potong je, tiba-tiba rasa macam muka orang. Orang ambik lah gambar”.

“Ambik gambar, ada ke gambarnya?” tanya saya.
Lalu ditunjukkan gambar yang diambil melalui handsetnya.

“Ye lah… gambar muka orang”. Saya mengiakannya.
“Orang cakap kat mak, mak tak percaya”. Tambah Chik Lah lagi.
Tulah gadis zaman moden… yang tu belum tanya nama pisang dan nama ikan lagi… Tak pelah jadi muslimah sejati lagi baik.

Macam bila Rasulullah s.a.w bertanya pada puteri kesayangannya, Fatimah tentang ciri-ciri perempuan yang baik. Jawab Saidatina Fatimah “Perempuan yang baik adalah kurang melihat dan dilihat”. Maksudnya perempuan itu kurang dilihat oleh lelaki dan lelaki pula kurang melihatnya. Kisah ini ada dicatatkan dalam Kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali.

Penat mencari maklumat berkenaan research, lalu entry ini ditulis… saja ingin bercerita. Kebetulan baru habis program Nisa’ Pulau Pinang berkenaan ‘Pencarian Gadis Melayu’ (Artikel berkenaan dengannya masih belum diterbitkan di dalam blog Nisa’ Pulau Pinang ).

*Adik saya yang sorang ni suka membahaskan dirinya dengan panggilan ‘orang’
**’Wan’ ialah panggilan ‘nenek’ bagi masyarakat Melayu di Pahang.

 
3 Comments

Posted by on February 1, 2010 in Ragam Kehidupan

 

Bijak Wang


Entry kali ini ada kaitannya dengan entry yang lepas bertajuk ‘Pengurusan Kewangan Peribadi‘. Saya memperoleh banyak pertanyaan secara peribadi melalui entry tersebut. Jujurnya saya bukanlah individu yang layak untuk ditanyakan berkenaan pengurusan kewangan.

Namun begitu, untuk tidak menghampakan setiap yang bertanya, saya linkkan slide dari rancangan ‘Bijak Wang‘ untuk manfaat anda semua. Slide ini adalah berkenaan dengan pengurusan kewangan peribadi seperti yang saya terangkan sebelum ini. Begitu juga dengan slide ini. Bagi saya walaupun ia sekadar slide, tetapi ia mudah untuk difahami.

Melalui link tersebut, terdapat banyak lagi slide yang boleh memberi manfaat untuk semua. Contohnya slide berkenaan pembelian kereta, rumah idaman, takaful, zakat, perbelanjaan persekolahan dan perlaburan. Slide tersebut boleh di download.

Harapan sedikit sebanyak ia dapat membantu pengurusan kewangan anda semua. Maklumat tentang pengurusan kewangan banyak terdapat di dalam internet. Cuma anda perlu rajin membaca dan amalkannya. Jika tidak, ilmu tersebut tidak berguna. Pepatah Arab ada mengatakan ‘ilmu tanpa amal, ibarat pohon yang tidak berbuah’. Siiru a’la barakatillah.

 
1 Comment

Posted by on January 27, 2010 in Ragam Kehidupan

 

"Jauh-jauh di dunia…"

“Kak Radieah makan sorang je ke?” Tanya seorang senior kepada saya.

“Ni malaikat kiri kanan ada kat sebelah.. syaitan tak tahulah banyak mana pula..” Gurau saya sambil mengisyaratakan tangan ke kanan dan ke kiri bahu saya.

“Iss.. Kak Radieah ni.. Boleh duduk sekali?”

“Awak berdua dah habis makan. Kak Radieah tak nak ganggu program awak berdua lepas ni. Kak Radieah tak kisah pun makan sorang”. Balas saya.

“Tak adalah. Tak buat apa pun lepas ni. Saja nak borak-borak dengan Kak Radieah”.

“Macam mana seronok dah habis master?” Tanya rakannya pula kepada saya.

“Master ke… ijazah ke… PhD ke… tak ada apa-apa makna pun bagi Kak Radieah.”

“Kenapa cakap macam tu pula?” Soalan tersebut diluahkannya.

“Ramai yang ada ijazah… ramai yang ada master… PhD pun sama tapi berapa ramai yang boleh beri ijazah… master atau PhD pada semua”. Berkerut muka kedua-dua senior saya tadi membuatkan saya cuba menerankan maksud ucapan tadi.

“Ilmu yang kita belajar… kita peroleh tidak berguna kalau kita tidak beramal. Amal itu satu perkara… perkara yang lain pula… berapa banyak ilmu yang kita boleh beri pada orang lain hasil daripada pembelajaran kita… dengan maksud yang lebih mudah… berapa ramai masyarakat di sekeliling kita yang mampu kita tarbiyyah. Tarbiyyah yang Kak Radieah maksudkan kat sinI maksudnya… ilmu yang tidak sahaja sekadar kita beri tetapi mampu memberi pemahaman kepada seseorang daripada ‘syaq’ atau ‘ragu-ragu’ terhadap sesuatu perkara…. kepada ‘yakin’ tentang sesuatu perkara…. daripada ‘tahu’ kepada ‘faham’… daripada ‘faham’ kepada ‘amal’… daripada ‘amal’ kepada ‘jihad’. Lebih kurang lah dengan Rukun Baiah* yang selalu kita kena marah bila tak hafal…”

“Yelah Kak Radieah.. nak ‘jihad’ ni pula perlu ada ‘pengorbanan’ kan Kak Radieah kan…”

“… Ye, lepas ‘jihad’ kan ‘pengorbanan’…” Saya mengingatkan kembali susunan Rukun Baiah yang telah lama saya tinggalkan.

“Payahlah Kak Radieah nak berkorban… terutama bila kita terikat dengan manusia. Macam saya terikat dengan mak ayah”. Luahnya.

“Tak baik cakap macam tu. Ujian tu kan Allah bagi sebab kita mampu pikul. Doalah banyak-banyak supaya Allah mudahkan setiap urusan kita”.

“Yelah… tapi bila selalu tak balik rumah… orang lain cuti… kita masih tak cuti. Sibuk dengan program sana, program sini… manalah mak ayah tak bising”.

“Macam Kak Radieah cakap tadi… berdoalah banyak-banyak supaya Allah mudahkan urusan kita. Masa tu hak Allah.. jadi Dia berkuasa untuk lapangkannya buat kita. Jangan jadikan sibuk sebagai alas an untuk tak balik rumah. Pandai-pandailah urus masa.. lagi satu cubalah bagi kefahaman pada mak dan ayah. Terangkan apa yang kita buat. Insya Allah mak ayah boleh terima… yang penting awak kena bijak untuk uruskan perkara ni dan jangan lupa berdoa… mudah je”.

“Mudah tu memang mudah… tapi nak buat tu yang payah”.

“Kak Radieh pegang pada satu perkara yang Kak Radieah selalu nasihat pada diri Kak Radieah sendiri…”

“Waa… apa dia Kak Radieah?”.

“Jauh-jauh di dunia… untuk kita rapat-rapat di syurga… jarang-jarang di dunia untuk kita selalu-selalu di syurga”.

“Hebat lah bahasa falsafah Kak Radieah ni”. Pujian yang tidak kena tempat.

“Isk dia ni… kita cakap lain dia cakap lain pula”. Balas saya.

“Kak Radieah tu yang serious sangat”

“Bercakap soal perjuang… memanglah kena serious. Kita ni sebenarnya selalu menuntut hak kita supaya dipenuhi. Sehingga orang yang kita sayang pun… 100% kita nak tuntut hak kita daripadanya. Kena belajar dari Lana Lang, waktu Lana Lang kata kat Clark Kent “I need you. But people need you more”. Dalam perjuang banyak perkara yang kita sayang terpaksa kita lepaskan… untuk rapat-rapat di syurga”

“Kak Radieah tengok Smallville?” Pelik mungkin bila saya kemukakan tentang percakapan actor tadi
“Isk dia ni. Smallville pula yang dia ‘code’… Kak Radieah bagi contoh untuk kita belajar… Kak Radieah bukan malaikat… bagi Kak Radieah nak tengok.. tengoklah. Tapi pandai-pandai tapis. Nanti balik rumah cuba-cubalah fahamkan mak ayah.. orang yang rapat dengan kita… yang sayang pada kita… dan yang penting juga jangan khianati mereka… Cubalah beri kefahaman.. sebab tak selamanya kita boleh sembunyikan. Nak beri kefahaman perlu kebijaksanaan diri sendiri… yang tu Kak Radieah tak boleh tolong”.

*Rukun Baiah – 1. Faham 2. Ikhlas 3. Amal 4. Jihad 5. Pengorbanan 6. Taat 7. Tetap Pendirian 8. Tajarud (Ikhlas terhadap fikrah) 9. Persaudaraan 10. Thiqah

 
Leave a comment

Posted by on January 3, 2010 in Ragam Kehidupan

 

Ukuran Sebuah Cinta

Berlaku kesalahan pada tarikh di dalam gambar tersebut.
Sepatutnya ia bertarikh 20 Disember 2009

“Em… macam mana seronok?” Tanya saya.
“Seronok”. Lazimnya jawapan tersebut yang kami terima dari setiap kumpulan yang ditugaskan untuk menyudahkan check point dalam aktiviti ‘Kembara Ilmu, Jambori Nisa’ 2009’.
“Macam mana, check point sebelum ni dapat jawab tak?”
“Ada yang dapat.. ada yang tak… yang kena denda pun ada”
“Kena denda? Kat check point mana?”
“Check point satu”.

“Ooo.. ye ke… tak pe.. tak pe. Kat check point ni tak kena denda. Insya Allah”. Lebar senyuman mereka mendengar janji saya. Setiap kumpulan yang saya tanya berkenaan kena denda… pasti jawapan kena denda di check point pertama dikhabarkan kepada saya… tak pelah. Bukan selalu… tempat yang kena denda tu biasanya paling kita ingat.

“Okeylah di check point yang ketiga ni mudah je. Kak Radieah nak minta semua bercerita. Dua hari lepas kita telah sambut tahun baru Hijrah… jadi sekarang Kak Radieah nak tahu tentang peristiwa hijrah. Kak Radieah nak semua bercakap. Tambah sorang sikit.. jadikan ia satu cerita yang lengkap. Okey boleh mula…”

Di check point saya ini, tugasan mereka mudah.. hanya bercerita berkenaan peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w bersama Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Tetapi jalan cerita yang saya terima, bagi saya ia sungguh mengecewakan.

Ada yang mengatakan Rasuluulah berhijrah ke Ta’if… ada pula yang mengatakan Saidina Abu Bakar tidur di atas riba Rasulullah s.a.w… ada juga yang mengatakan baginda bermalam di Gua Thur selama 40 malam… dan tidak kurang juga yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar bermalam di Gua Hira’… pening saya dibuatnya…

Setelah selesai sahaja mereka bercerita dan setelah saya betulkan kesilapan di dalam sirah yang mereka ceritakan, saya membuat kesimpulan dan penggulungan…

“Baiklah… sekarang secara jujurnya Kak Radieah nak tahu… dari kisah yang telah diceritakan tadi, dalam keadaan seorang kata macam tu.. yang lain kata bukan macam tu tapi macam ni… ada yang kata Rasulullah berhijrah dengan Saidina Ali… ada yang terus membisu tak bercerita apa-apa pun… dapat atau tidak, kita katakan yang kita benar-benar cinta kepada Rasulullah?… sedangkan dalam kehidupan kita, bila kita sayang sahabat kita.. kita akan tahu apa yang dia suka, apa yang dia tidak suka, segala cerita, kisah yang dilalui oleh sahabat kita tadi… kita tahu segala-galanya.. tetapi bila tiba masa kita katakan yang kita sayang… kita cinta pada Rasulullah… tetapi kita gagal menceritakan hanya tentang peristiwa hijrah yang saban tahun diulang-ulang ceritanya kepada kita”.

“Sekarang cuba kita ukur cinta kita pada Rasulullah… Kak Radieah hanya bertanya tentang peristiwa hijrah, belum lagi tentang peristiwa-peristiwa lain.. bagaimana kita boleh katakan yang kita cinta pada Rasulullah sedangkan kisahnya tunggang langgang dalam fikiran kita?”

“Adakah kita benar-benar cinta pada Rasulullah?” tanya saya
“Tidak” sayup sahaja ucapan tersebt.. ada yang menggelengkan kepala… ada juga terus membisu.

“Bila kita sudah tahu kita sebenarnya masih belum cukup untuk mengatakan yang kita cinta pada Rasulullah, balik nanti.. Kak Radieah harapkan kita semua baca semua kisah Rasulullah dan ingat kisah tersebut sebab cinta kepada Rasulullah juga bererti kita cinta kepada Allah. Bila kita gagal cinta kepada Rasulullah bermakna kita juga gagal mencintai Allah…”

“Okeylah… dah lewat, kumpulan lain dah tunggu. Jangan lupa pesan Kak Radieah..

Suatu ketika dahulu saya cukup bosan untuk mendengar ceramah tentang Ma’al Hijrah kerana lazimnya penceramah akan menceritakan tentang peristiwa penghijrahan hampir saban tahun mendengar kisah yang sama. Tetapi pada hari ini… saya tidak lagi berpandangan begitu. Memang sepatutnya sirah tersebut diulang-ulang kerana masih ramai yang gagal memahami apatah lagi menghayati tentang penghijrahan dan perjuangan Rasulullah s.a.w… kita ini selalu lupa, oleh itu harus selalu diingatkan..

Pernah satu ketika, sewaktu saya di tingkatan eman di SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Jerantut, Pahang. Seorang penceramah yang dijemput untuk memberi pengisian tentang peristiwa hijrah tersebut, telah bercerita bukan sahaja tentang salasilah keturunan Rasulullah s.a.w, tetapi juga salasilah kambing yang dipelihara oleh Rasulullah yang bercantum dengan binatang korban yang dikorbankan oleh Habil bin Adam a.s, nama unta-unta dan kuda-kuda tunggangan Rasulullah, tentang nama-nama pedang baginda dan banyak lagi.

Pada ketika itu, di dalam hati saya hanya terdapat rasa kagum terhadap penceramah tersebut kerana daya ingatan beliau cukup hebat. Tetapi hari ini, saya percaya hanya individu yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w akan berusaha untuk memperolah sebanyak mungkin maklumat mengenai baginda… kerana semakin kita mengenali baginda maka akan semakin dekatlah kita terhadap baginda… dan sudah tentu mendalamnya rasa cinta kepada Rasuluulah s.a.w tadi telah menyebabkan penceramah tadi mampu mengingati kesemuanya tentang Rasulullah s.a.w.

Mengukur kecintaan kepada seseorang adalah suatu perkara yang sangat mustahil dapat dilakukan. Ukuran yang biasanya dapat dilakukan hanyalah dengan membandingkan kecintaan individu dengan individu yang lain. Namun begitu pepatah Melayu ‘tak kenal maka tak cinta’ sedikit sebanyak telah mengajar kita tentang standard sebuah cinta.

 

Pengurusan Kewangan Peribadi


Antara buku yang sering menjadi tumpuan saya satu ketika dahulu sehingga kini adalah tentang mengurus kewangan peribadi. Alhamdulillah… berkat sedikit pengetahuan yang dibaca dan perkongsian dengan emak tentang bagaimana mengurus kewangan, saya telah berjaya melangsaikan hutang pengajian saya kira-kira lima bulan yang lalu.

Jika difikirkan kembali… situasi saya yang tidak bekerja, masih lagi bergelar seorang pelajar dan baru sahaja mendirikan rumah tangga, sudah tentu situasi tersebut tidak akan mengizinkan saya untuk melangsaikan hutang tersebut. Tetapi itu semua kuasa Allah. Berkat doa dan sedikit ilmu yang diamalkan, maka perkara yang diharapkan berhasil.

Konsep saya mudah… seboleh mungkin elakkan diri daripada berhutang dan sekiranya berhutang.. bayarlah secepat mungkin. Tetapi jika difikirkan keadaan dimasa ini, tidak berhutang dikatakan suatu perkara yang mustahil berlaku. Memegang status penuntut universiti sahaja hutangnya telah mencecah lima angka… belum lagi mempunyai kenderaan, apatah lagi kediaman. Bagi saya kerajaan kini bukan sahaja mendidik masyarakatnya berhutang tetapi turut memaksa untuk berhutang. Mahu tidak mahu kita terpaksa berhutang… kerana ia merupakan keperluan yang mendesak.

Beruntunglah golongan yang cerdik pandai kerana mereka memperoleh biasiswa untuk membiayai yuran pengajian mereka… dan sudah tentu kerjaya mereka juga terjamin berbanding mereka yang terpaksa meminjam untuk membayar yuran pengajian… Maklum sajalah mereka yang memiliki biasiswa, selain daripada cerdik pandai.. mereka juga belajar dalam kursus yang pasaran kerjanya sangat terjamin seperti doktor perubatan, farmasi dan lain-lain.

Bagi golongan yang bukan cerdik pandai seperti saya, perkongsi tips daripada emak saya insya Allah boleh membantu… untuk maklumat emak saya hanya seorang guru sekolah rendah, namun sepanjang hidup saya emak saya mampu memiliki kenderaan yang dibelinya secara tunai. Emak memiliki dua kenderaan kini.. satu miliknya dan sebuah lagi diserahkan kepada adik saya… bukan kenderaan mewah tetapi Alhamdulillah ia cukup selesa digunakan… Emak juga memiliki sebuah rumah yang kini dijadikan rumah sewa. Rumah tersebut dibeli daripada pinjaman bank. Tetapi sekarang pinjaman tersebut telah habis dibayarnya.

Nasihat emak mudah sahaja… seboleh mungkin janganlah meminjam dan jangan berhutang walaupun nilannya ialah satu sen. Nasihatnya lagi simpanlah wang yang dimiliki daripada sekarang. Walaupun ia adalah wang pinjaman yang kita miliki… kerana lebihan daripada wang pinjaman tersebut boleh dikembalikan semua.. sekali gus ia akan menggurangkan jumlah pinjaman yang kita miliki. Jika kita tidak menyimpannya dari sekarang, akan datang kita akan dibebani hutang dengan berlipat kali ganda kerana tidak mempunyai wang simpanan.

Lagi satu.. rancanglah perbelanjaan dengan baik… jangan membeli perkara yang tidak perlu. Saya banyak belajar daripada sikap emak dalam berbelanja. Saya perhatikan emak jarang berbelanja di kantin sekolah… bahkan boleh dikatakan tidak pernah. Setiap hari pasti dibawanya bekal makanan untuk dijamahnya sewaktu masa rehat tiba. Walaupun bekal tersebut hanyalah beberapa keping roti dan sebotol air masak. Sebenarnya boleh dikatakan itulah bekalannya setiap hari…

Oh ye.. solat dhuha selalu amalkan.. dan jaga keberkatan wang yang kita terima… tambahan tips daripada emak…Tips yang saya kongsikan ini merupakan tips daripada emak saya. Mudah sahaja.. tetapi payah untuk dilaksana bagi yang merasakan ia payah. Banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk mengurus kewangan kita.

Saya cadangkan anda membaca buku ‘Ke Mana Wang Anda?’ karya Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir dan ‘Supaya Poket Tidak Kosong Lagi’ karya Mohd Tamsir Ali dan Halimah Mohd Arsat. Bagi saya, kedua-dua buku ini berjaya mengupas tentang situasi wang yang kita belanja sehari-hari… barang yang kita rasa perlu sebenarnya tidak perlu, yang kita rasa kita sedang berbelanja dengan berhemah, rupanya kita membazir dan banyak lagi perkara yang terkandung di dalamnya…

Dua penulis yang saya cadangkan anda baca karyanya tentang mengurus kewangan selain dari Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir ialah Aziz Ali. Kedua-duanya adalah penulis buku yang baik berkenaan pengurusan kewangan peribadi.

Akhir sekali, saya doakan kita semua dijauhkan dari sikap yang suka membazir dan dijauhi daripada hutang yang tidak dapat dilangsaikan sebelum nyawa ditarik olehNya. Perkara ini ialah perkara yang sering emak saya ingatkan kepada saya dan saya kongsi untuk kebaikan bersama. Semoga ia memberi manfaat.

 
Leave a comment

Posted by on December 15, 2009 in Ragam Kehidupan