RSS

Category Archives: Tazkirah

Antara Yang Tersurat dan Makrifat

Menganggap diri terlalu mulia daripada individu lain menyebabkan sukarnya untuk mendedahkan diri kita ditarbiyyah dalam apa jua bentuk keadaan. Tarbiyyah daripada Allah s.w.t datang dalam pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk musibah, nikmat mahupun dugaan.

Tarbiyyah daripada Allah hadir dalam hidup kita setiap saat, waktu dan ketika tanpa mengira tempat mahupun keadaan. Tetapi malangnya kita selalu mengungkapkan kata-kata bahawa ‘saya tidak tahu kelak saya bagaimana… kerana saya masih belum diuji’.

Mungkin betul juga perkara yang dikatakan. Tetapi harus kita ingat seandainya kita tidak menyedari bahawa setiap saat kita sebenarnya sedang diuji kita akan mempersiakan setiap saat yang sedang kita lalui.

“…tuan mungkin mengetahui perkara yang tersurat tetapi tuan masih belum mengetahui perkara yang makrifat”… salah satu dialog di dalam drama bersiri ‘Nenek Kebaya’. Terpulang kepada anda bagaimana untuk mentafsir dialog tersebut. Tetapi saya suka mentafsir dialog tersebut dengan menghubungkannya dengan individu yang diamanahkan oleh Allah untuk mentarbiyyah manusia di sekelilingnya.

Sewaktu mentarbiyyah individu lain jarang sekali kita menyedari bahawa diri kita juga sedang ditarbiyyah. Akhirnya program-program pengisian yang kita anjurkan hanya sekadar berjaya melinangkan air mata peserta pada saat dan ketika itu sahaja… apabila tamat program segala nasihat dan pesanan kita kepada peserta tidak berjaya dibawanya dalam kehidupan mereka.

Dimana kesilapan kita? Silap dan salahnya kita apabila kita terlalu menganggap mereka terlalu rendah.. terlalu dhaif berbanding kita. Kita merasakan kita yang terbaik sehingga aktiviti yang kita rancang dalam program tersebut seoalah-oleh menidakkan hak mereka untuk memperoleh perkara yang lebih baik seharusnya mereka terima. Kita bayangkan tahap pemikiran mereka ditahap pemikiran, ketahanan fizikal, emosi, daya juang mereka lebih rendah berbanding kita…. segala-galanya lebih rendah berbanding kita…

Hakikatnya program tarbiyyah yang kita anjurkan itu sebenarnya bukan untuk mereka tetapi untuk kita… salah kita… silap kita… bukan salah mereka. Sebagaimana dialog drama tadi.. kita mungkin menggetahui perkara yang dirasakan tersurat tetapi sayang sekali kita dijauhkan olehNya untuk mengetahui perkara yang berbentuk makrifat…. Nauzubillah.

Maksud tersurat yang saya maksudkan ialah perkara yang kita rasakan harus dimiliki oleh olah muslim. Sama ada cara pakaiannya, percakapannya dan tingkah lakunya. Semuanya dalam bentuk fizikal yang dapat diukur dengan akal manusia. Tetapi makrifat pula bermaksud perkara yang berbentuk rohani.

Lebih dekat untuk saya maksudkannya sebagai aqidah Islamiyyah. Makrifat juga membawa maksud mengenal Allah… lebih kepada menyentuh perasaan atau hati manusia kerana hati merupakan tempat letaknya kepada iman. Sedangkan akal tempat letaknya ilmu yang seringkali dikuasai oleh nafsu bagi diri yang lemah.

Seharusnya yang perlu kita dahulukan adalah hati mereka… bukan akal mereka dan selalu-selalulah untuk sentiasa ditarbiyyah walaupun pada ketika itu kita sedang mentarbiyyah. Mereka yang ditarbiyyah selalu meletakkan diri mereka di bawah untuk sentiasa menerima tarbiyyah.

Advertisements
 
2 Comments

Posted by on January 13, 2010 in Tazkirah

 

Hadiah Tidak Bernilai

“Radieah… ada 10 kad kahwin saya terima ni. Macam mana nak pergi, banyak sangat? Semua kawan yang rapat-rapat pula tu.. aduh”. Aduan yang dibuat oleh rakan saya ini hanya saya balas dengan senyuman.
“Pergi yang dekat dengan Penang jelah” Sambungnya lagi.

Jalan penyelesaian tentang masalahnya tadi diselesaikannya sendiri tanpa perlu bantuan saya. Biasanya macam tulah… kebanyakan daripada kita tahu jalan penyelesaian. Cuma kita sekadar ingin mengadu, bukan untuk meminta jalan penyelesaian. Tetapi sekadar meminta kita menjadi teman pendengar yang setia… sekadar itu sahaja.

Jemputan untuk menghadiri majlis kenduri di waktu musim cuti sekolah memang tidak dapat dinafikan terlalu banyak. Ada yang dijemput melalui kad jemputan, ada yang melalui e-mail, sms, telefon dan pelbagai cara lagi. Namun bukan itu yang saya ingin bincangkan kini. Sebaliknya tumpuan saya adalah kepada hadiah yang kita berikan kepada pasangan pengantin baru tersebut.

Bagi sesetengah individu, hadiah menjadi kemestian untuk mereka bawa, namun ada juga yang sebaliknya. Sebagai individu yang ingin memberi hadiah, saya ucapkan tahniah kerana kemurahan hati yang anda miliki. Tetapi hadiah yang bagaimana kita harus bagi? Perkara ini adalah sangat penting untuk kita fikirkan supaya hadiah yang kita berikan kepada pasangan pengantin tidak menjadi hadiah yang tidak bernilai buat mereka.

Bagi saya sesuatu hadiah akan menjadi tidak bernilai apabila ia tidak digunakan. Misalnya sepupu saya yang telah berkahwin kira-kira lima tahun yang lalu, hadiah semasa perkahwinannya masih lagi tersimpan elok di dalam kotak di rumah ibunya sehingga sekarang. Bukan satu, dua tetapi hampir mencecah angka 30 hadiah semuanya… Hadiah yang pada asalnya bertujuan untuk mengembirakan hati individu yang menerima bertukar menjadi perkara yang menyusahkannya. Penyelesaian yang terbaik diberikan oleh sepupu saya ialah menghadiahkan pula hadiah yang tidak diperlukan olehnya kepada pasangan yang baru berkahwin yang lain. Saya juga mengalami perkara yang sama. Tetapi tidaklah sebanyak sepupu saya tadi.

Oleh itu bagi individu yang ingin memberikan hadiah, berilah yang terbaik buat individu yang ingin kita beri. Tidak kiralah sama ada hadiah semperna majlis perkahwinan, hari jadi, konvokesyen, dan lain-lain. Bagi saya hadiah yang baik tidak semestinya mahal tetapi seharusnya ia boleh digunakan semaksima mungkin oleh si penerima.

Hadiah sebenarnya adalah salah satu platform untuk seseorang itu memperoleh sebanyak mungkin pahala dan rahmat daripada Allah s.w.t kerana kita berjaya menggembirakan si penerima tersebut. Jadi ambillah peluang memberi hadiah itu dengan sebaik mungkin… Barang kali ia juga boleh menjadi sedekah yang berpanjangan daripada kita… pahalaNya…rahmatNya kita terima setiap kali hadiah tersebut digunakan.

Hadiah yang terbaik hanya dapat diberi dengan adanya kebijaksanaan anda memilih sewaktu membeli.. Memberi hadiah dengan ikhlas, insya Allah pahalanya Allah s.w.t akan berikan… tetapi andai dapat lebih kan lagi baik…
 
Leave a comment

Posted by on December 16, 2009 in Tazkirah

 

Suasana Sewaktu Haji Akbar

Maksud:” HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah hambaMu datang menyahut panggilanMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu, hambaMu datang menyahut panggilanMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu tidak ada sekutu bagiMu .”

“… Mak, kita raya hari Jumaat kan.” Tanya saya kepada emak inginkan kepastian.
“Em.. Orang cakap bila wukuf jatuh hari Jumaat, haji tu nama Haji Akbar. Tapi ada orang cakap tak semestinya.”
“Tahun-tahun dulu… waktu wukuf yang jatuh hari Jumaat… waktu tu, ramai orang buat haji. Orang yang tinggal dekat kawasan Mekah.. Madinah pun buat haji. Sebab tu tahun tu ramai buat haji.” Ujah saya pula.
“Betul lah tu”. Jawab mak.
“Kalau bukan hari Jumaat Haji Akbar, macam mana nak tentukan. Ada cara lain ke?” Tanya saya kepada emak.
“Orang cakap waktu tu banyak cabaran… banyak musibah berlaku. Orang takut kalau Haji Akhbar tapi pahalanya berlipat kali ganda”.
“Tahun dulu-dulu, waktu haji yang ada bangunan runtuh lah.. macam-macam lah. Ada ustaz cakap sebab Allah nak bersihkan Mekah dari orang kafir. Yang terbunuh tu mungkin orang bukan Islam yang masuk tanah haram”. Terang saya pula.
“Macam mana pula boleh jadi macam tu? Kenapa nak masuk tanah haram?” Tanya emak pula.
“Orang kafir mak… macam-macam lah dia nak buat. Dalam Mastika dulu-dulu, Adiah pernah baca… seorang tu, dia bawa pembantu rumah dia untuk buat haji sekali. Tiba-tiba bila masuk tanah haram terus hilang. Sampai sekarang tak jumpa. Bila selidik, rupa-rupanya pembantu rumah dia bukan Islam… dia tak tahu pun tentang tu”.
“Kat sana bila tiba tanah haram ada signboard yang tulis laluan untuk orang bukan Islam, laluan untuk orang Islam. Ada dua sempang.. ada jalan khas untuk orang bukan Islam”.

Malam selepas perbualan kami di siang hari, berita tentang berlakunya banjir dan berpuluh-puluh jemaah haji meninggal dunia diberitakan…

“Mak betul lah mak.. apa yang mak cakap tentang Haji Akhbar petang tadi”. Ujah saya ringkas.
Mak hanya menganggukan kepala.

 
Leave a comment

Posted by on December 2, 2009 in Tazkirah

 

Boikot: Sejauhmana Kita Istiqamah Dengannya?

Tidak lama dahulu isu boikot memboikot barangan daripada Israel menjadi isu hangat diperkatakan oleh semua. Banyak barang, jenama dan sebagainya kita boikot dalam usaha untuk melumpuhkan sidikit sebanyak ekonomi Israel.

Tetapi kini isu tersebut tidak lagi menjadi sehangat dahulu. Bahkan kita mula lupa untuk memboikot barang atau jenama yang dahulunya kita boikot.

Boikot barangan dari Israel sebenarnya tidak sahaja menyelamatkan penduduk Palestin daripada serangan tentera Israel tetapi ia turut memberi peluang kepada industri tempatan terus berkembang. Bagi saya, memang hari ini kita susah untuk memperoleh barangan yang terbaik berbanding barangan perjenama yang dikeluarkan oleh Israel dan sekutunya.

Tetapi dengan memboikot barangan mereka secara tidak langsung kita telah memberi harapan kepada industri tempatan untuk berkembang. Dengan membeli barangan buatan muslim, Insya Allah suatu hari nanti barangan buatan muslim juga akan turut setanding dengan jenama mereka.

Persoalannya kini sejauhmana kita mampu untuk istiqamah dengan perkara yang telah kita mulakan dahulu? Teruskanlah memboikot barangan atau jemana daripada Israel, belilah barangan buatan Muslim yang Insya Allah… terjamin kehalalannya.

 
Leave a comment

Posted by on October 12, 2009 in Tazkirah

 

Kelayakan Untuk Berhari Raya

Entry di dalam kebanyakan blog, e-mail, sms dan sebagainya, kebanyakannya mengucapkan tentang kelebihan Ramadhan… ucapan ‘selamat berpuasa’, dan pelbagai lagi ucapan lain yang berkaitan dengannya. Setahun telah berlalu, saya juga pernah menulis perkara yang sama tentangnya. Jadi kali ini saya putuskan untuk tidak menulis perkara yang sama berkenaan Ramadhan.

Masih terlalu awal untuk saya bercerita tentang Syawal atau hari kemenangan buat kita semua. Tetapi bagi saya, entry kali ini lebih sesuai untuk saya tuliskan lebih awal supaya ia menjadi peringatan untuk kita semua.

Entry kali ini berdasarkan sebuah kisah. Suatu hari telah datang seseorang bertanya kepada seorang a’bid (ahli ibadah) “Bila hari raya kamu?”. A’bid itu menjawab “Bagi saya, hari raya adalah hari
  1. Ketika saya tidak berbuat maksiat kepada Allah s.w.t
  2. Ketika datangnya kemenangan bagi orang-orang beriman.
  3. Ketika saya kembali kepada hidayah serta bimbingan Allah s.w.t dengan memperbaiki urusan saya.

Bagi saya hari raya bukanlah hari orang berpakaian baru dan mewah melainkan orang yang mampu menjauhkan diri dari siksaan api neraka.

Jadi renung-renungkanlah… puasa yang kita lakukan, adakah boleh untuk kita berhari raya? Adakah kita telah mengecapi kemenangan daripada puasa tersebut? Baju raya yang telah siap ditempah atau dibeli sebelum tibanya Ramadhan, adakah kita layak untuk memakainya?

Semoga rahmat Allah s.w.t sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita.

 
Leave a comment

Posted by on August 26, 2009 in Tazkirah

 

Bala yang Melanda Dunia


Pada mulanya saya tidak terlalu ambil kisah sangat dengan kes H1N1. Tetapi apabila angkanya sehingga 1476 kes dan kematian mencatat angka sehingga 12 orang, saya mula merasa bimbang. Tambahan pula, kajian WHO menjangkakan 28 000 orang rakyat Malaysia dijangka akan meninggal disebabkan jangkitan tersebut dalam tempoh masa dua tahun sekiranya tidak ditemui vaksin untuk melawan virus tersebut.

Bala dari Allah S.W.T yang kita sendiri tidak dapat elak. Seperti mana yang dikatakan oleh Dr. Haron Din. Kalau umat terdahulu, ada nabi yang boleh bagi amaran. Boleh lari dari kawasan yang bakal di timpa bala. Nabi Lut A.S, Nabi Nuh A.S, Nabi Salleh A.S dan ramai lagi nabi yang lain boleh ajak kaum yang beriman kepada Allah S.W.T lari daripada kawasan yang bakal ditimpa bala. Tetapi kita hari ini, nabi sudah tiada. Ke mana kita mahu menyelamatkan diri? Kalau perlu cari tempat selamat, di mana tempat selamat tersebut? Kalau perlu menyembunyikan diri, di mana tempat persembunyian tersebut? Kalau perlu kuarantin, berapa lama tempoh kuarantin tersebut?

Firman Allah S.W.T,

Maksudnya;
Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). Katakanlah: “Adakanlah perjalanan di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu. Kebanyakan dari mereka itu adalah orang-orang yang mempersekutukan (Allah)”. Oleh karena itu, hadapkanlah wajahmu kepada agama yang lurus (Islam) sebelum datang dari Allah suatu hari yang tidak dapat ditolak (kedatangannya): pada hari itu mereka terpisah-pisah.”
(Surah ar-Rum, ayat 41-43)

Kita masih ada Allah S.W.T… Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Penyayang… Moga kita semua diselamatkan dari bala yang sedang melanda kini.
 
Leave a comment

Posted by on August 6, 2009 in Tazkirah

 

Pemikul Amanah


“Ada tak orang yang boleh buat kebajikan mengajar tuisyen kat Maahad Tahfiz… dalam masa yang sama mereka anak yatim?”.

“Ha, apa lagi Radieah. Nisa’ Bayan Baru lah”.

“Aduh, bukan tak nak. Nisa’ Smart Class pun kami tak berjalan dengan lancar lagi. Bukan setakat Bayan Baru je, Sungai Ara pun minta kami buat tusyen. Mana larat. Tak cukup tenaga… Tengoklah dulu. Nanti saya bincang dengan yang lain”. Ada sedikit kekesalan sedikit di situ.

Perbualan kami terhenti di situ. Tetapi saya percaya kami masih memikirkannya.

Tanggungjawab kita banyak tetapi kudrat kita tidak sebanyak mana. Amanah yang dipikul oleh bahu ini berat bahkan berkali-kali juga ia terlepas dari pikulan saya.

Seperti lima teka-teki Imam al-Ghazali dalam entry saya yang lepas. Teka-tekinya yang keempat tentang apakah yang paling berat di dunia lalu muridnya menjawab: ” Besi, gajah”. Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah ‘menanggung amanah’. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak.

Selalu saya ingin mengagihkannya kepada sesiapa yang mahu memikul amanah ini bersama… tetapi tidak ramai yang sudi memikulnya.

 
2 Comments

Posted by on August 6, 2009 in Tazkirah