RSS

Category Archives: Ulasan Buku

Natrah: Cinta, Rusuhan & Air Mata

Antara babak Natrah (yang dilakonkan oleh Maya Karin) dan Che Aminah Mohamad (yang dilakonkan oleh Umi Aida) dalam pementasan teater Natrah sebelum ini.

Suatu ketika dahulu saya pernah menulis tentang hal yang sama mengenai Natrah. Teaternya juga bakal dipentaskan untuk kali kedua oleh pengarahnya yang sama iaitu Erma Fatimah yang sebelum ini turut mengarahkan teater yang sama. Khabarnya untuk pementasan teater untuk kali kedua ini, persembahan dan jalan ceritanya cuba diperbaiki daripada pementasan sebelumnya.
Bila mendengar sahaja berita semalam berkenaan teater tersebut yang bakal dipentaskan untuk kali kedua, saya cukup teruja untuk menontonnya. Menurut seorang senior yang berpeluang menonton pementasan tersebut pada pementasan yang lalu, teater yang dipentaskan sungguh mengharukan.

Tetapi hari ini Allah memakbulkan permintaan saya. Saya tidak lagi teruja untuk menonton teater tersebut selepas menemui satu buku yang bertajuk Natrah (1937 – 2009) Cinta, Rusuhan & Air Mata, saya tidak lagi teruja untuk menonton teater tersebut. Ada banyak sebab antaranya adalah disebabkan kritikan Datin Seri Fatini Yaacob yang merupakan penulis buku yang saya maksudkan. Walaupun menurut Erma Fatimah gaya penulisan tidak boleh sama sekali disamakan dengan gaya pementasan, tetapi saya tidak bersetuju dengan pernyataan tersebut. Bagi saya ia adalah sejarah besar dunia, sejarah besar Bangsa Melayu dan sejarah besar sebuah perjuangan. Mana mungkin ia boleh diketengahkan hanya mengikut gaya tanpa fakta dan sejarah yang benar. Seharusnya gaya tersebut perlu berlandaskan fakta dan sejarah.

Baru sebentar tadi buku ini berada dalam gengaman saya

Ucapan tahniah saya buat Datin Seri Fatini Yaacob (penulis) kerana beliau telah melakukan kajian menemui hampir kesemua individu yang terlibat dalam kehidupan Natrah. Berdasarkan buku tersebut yang baru bahagian pengenalannya saya sempat baca, beliau telah mengembara ke seluruh pelusuk dunia seperti Singapura, Amerika Syarikat dan England untuk menemui individu penting seperti Dr. Tom Eames Hughes di Bangor Wales, Barat England. Beliau merupakan Pegawai Inggeris yang menjadi Pegawai Kebajikan Masyarakat Singapura pada ketika itu. Dr. Tom pada ketika itu bertangungjawab menjaga Natrah sewaktu ditempatkan sementara di Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura.

Penulis juga telah mewawancara Allahyarham Tan Sri Prof. Emeritus Ahmad Ibrahim yang merupakan Peguam Negara Singapura bukan Inggeris yang pertama dan bertangungjawab mengasaskan Mahkamah Syariah di Singapura pada tahun 1966 dan juga Majlis Ugama Islam Singapura. Allahyarham merupakan saksi penting kisah hidup Natrah yang menyaksikan undang-undang sivil Inggeris mengatasi undang-undang Islam dalam kes tersebut kerana beliau adalah peguam bela Natrah pada ketika itu.

Penulis juga amat bertuah kerana beliau berkesempatan menemui Mansor Adabi, suami kepada Natrah ketika tragedi tersebut tercetus yang meninggal sehari selepas beliau menumuramahnya iaitu pada 14 Oktober 1988. (Al-Fatihah buatnya…) Beliau juga berkesempatan menemuramah individu di sebalik nama besar tersebut iaitu Natrah sendiri. Menyatakan tentang perasaannya yang jarang-jarang sekali diketengahkan oleh banyak penulisan.

Menurut penulis lagi pada mulanya beliau tidak berminat untuk menjalankan kajian mengenai Natrah kerana menurut beliau, kisah tersebut telah lapuk, kisah lama yang tidak mungkin dikenang orang. Namun disebabkan tugasnya sebagai wartawan Majalah Dewan dan untuk memenuhi permintaan ketuanya, beliau menjalankan juga kajian tersebut.

Ternyata pandangn negatifnya terhadap Natrah sama sekali berubah setelah membuka lembaran akhbar Utusan Melayu bertulisan jawi dan The Straits Times keluaran bulan Disember 1950 di Arkib Negara Malaysia. Menurut beliau gambar Natrah dan mereka yang berkaitan termasuk tragedi rusuhan terpampang pada halaman utama akhbar pada setiap hari selama sebulan. Jauh sekali bezanya zaman kita dengan mereka. Isu akidah umat Islam bukanlah persoalan yang boleh dipermain-mainkan di zaman tersebut. Pada zaman ini isu murtad, ajaran sesat dan sebagainya bukan lagi isu utama.

Apapun bagi saya, buku tersebuat merupakan antara buku wajib yang perlu dimiliki oleh setiap daripada kita. Menurut penulis

“…sejarah cinta, rusuhan dan air mata Natrah ini adalah milik bangsa Melayu dan orang Islam rantau ini. Saya hanyalah seorang kerdil yang cuba membawa sejarah hebat ini kepada bangsa Melayu dan Islam rantau ini.

… Kalau dahulu, semasa zaman Natrah, beliau menangis-nangsi dalam pelukan pemberita Utusan Melayu, Puan Rosewita Buang, minta beliau dikeluarkan dari gereja kerana tidak mahu dipaksa memeluk agama Kristian. Namun kini selepas 59 tahun berlalu, perkara sebaliknya berlaku. Setelah negara merdeka, Hartini Kamaruddin (1988), Aishah Bukhari (1997) dan Lina Joy (2000) menangis-nangis untuk mausk ke gereja”.

Semoga ia memberi manfaat.


Judul: Natrah (1937 – 2009): Cinta, Rusuhan, Air Mata

Penulis: Datin Seri Fatini Yaacob
ISBN: 978-983-52-0729-7 (kulit lembut)
Penerbit: Universiti Teknologi Malaysia Press, 2010
Ketebalan dan harga: 474 muka surat dan RM75.00

Ulasan blogger lain mengenai buku tersebut:
http://pasalbuku.blogspot.com/search?q=natrah
http://zabidiskrip.blogspot.com/search?q=natrah&x=0&y=0

 

Buku vs Baju

Kertas kerja yang tidak selengkap mana dibentangkan sewaktu di persidangan
Alhamdulillah, Allah masih memberi kesempatan untuk saya berkunjung ke bumi Medan, Indonesia selama seminggu bermula dari 1 Ogos 2010 sehinggalah 7 Ogos 2010. Setahun yang lalu saya turut ke sana dengan tujuan yang sama iaitu membentangkan kertas kerja dan mengikuti seminar yang dianjurkan bersama oleh ISDEV (Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, USM) dan UMSU (Universiti Muhamadiyyah Sumatera Utara).

Bila ada yang tahu saya ke Medan, perkataan yang terkeluar dari mulut mereka pastinya “Wah, bestnya”. Ya, memang seronok sekiranya ia mampu dimanfaatkan sebaik mungkin. Tetapi alangkah ruginya seandainya bila ke sana hanya sekadar untuk berseronok-seronok atau sekadar membeli-belah.

Pasar Ikan, Medan Indonesia

Membeli-belah bukan kegemaran saya. Bila rakan-rakan yang lain balik dari membeli-belah di Pasar Ikan (saya dapat tahu, dahulunya tempat tersebut dijual ikan-ikan tetapi kini ia menjadi gedung membeli-belah kain dan segala macam pakaian) saya sering dengan mereka sering membanding-bandingkan harga yang mereka berjaya tawar untuk barang yang mereka beli. Ia menjadi perbualan utama sesama mereka.

Lain pula dengan mereka yang ke kedai buku sama ada ke Gramedia atau Wali Songo. Mereka akan sentiasa membantu antara satu sama yang lain mencari buku berkaitan, terutama kajian masing-masing. Maklum sahajalah, setiap dari kami mengetahui bidang kajian individu yang lain. Jadi tidak menjadi masalah untuk membantu rakan yang lain mencari buku dikehendaki.

“Radieah, awak dah tengok ke buku ni?” tanya Kak Shereeza sewaktu kami di Kedai Buku Wali Songo.
“Tak”. Jawab saya sepatah.
“Buku ni tentang peranan masjid basmi kemiskinan”.
“Oh, ye ke. Terima kasih”. Sungguh, saya cukup gembira menerima bantuan tersebut. Kedai buku tersebut walaupun saiznya sederhana besarnya tetapi bukanlah satu perkara yang mudah untuk mencari buku yang dikehendaki kerana jumlahnya terlalu banyak. Oleh itu, bantuan daripada rakan yang lain memudahkan pencarian masing-masing.

Tidak cukup membeli buku di Medan, gerai buku di tapak konvo USM
turut menjadi sasaran ke esokan harinya setelah kami selamat tiba di tanah air.


Buku yang banyak dibeli membuatkan ada yang bertanya “Bila masa awak baca semua ni?”.
Entahlah, saya pun tidak pasti. Tetapi setiap buku yang saya beli ia tidak pernah mengecewakan saya kerana biasanya saya tetap akan membacanya walaupun bukan dalam masa terdekat. Pernah suatu ketika dahulu (rasanya sewaktu tahun dua, undergrad), Dewan Bahasa dan Pustaka mengadakan promosi bukunya di USM. Saya membeli sebuah kitab terjemahan iaitu Mukadimah Ibn Khaldun. Pada ketika itu saya tidak terfikir pun untuk membaca keseluruhan kitab tersebut sebaliknya hanya pada bab-bab yang saya tertarik untuk membacanya. Tetapi sewaktu membuat master, kitab tersebutlah menjadi rujukan utama saya dalam kajian. Bagi saya setiap buku yang saya miliki ia menjanjikan kepuasan bukan kekecewaan.

Adalah suatu kepuasan yang luar biasa andai anda telah membaca buku tersebut mendahului orang lain dan anda akan merasa rugi yang teramat sangat bila orang lain menyatakan bahawa dia telah membaca buku tersebut sedangkan anda tidak membacanya. Bagi saya itulah antara perasaan yang saya miliki bila ada orang lain mendahului sesebuah buku berbanding saya. Rasanya perasaan ini tiada pada mereka yang suka membeli-belah.

Perbandingan harga pula bukanlah isu besar bagi mereka yang menyukai buku berbanding mereka yang suka membeli-belah. Walaupun ada kata menyatakan ‘kalah membeli menang memakai’, kalau sehelai ia tidak menjadi persoalan tetapi andai berhelai-helai yang itu harus difikirkan. Hakikatnya banyak mana sangatlah pakaian yang kita mampu pakai. Ada juga yang menyatakan untuk dihadiahkan kepada keluarga dan saudara mara. Apapun terpulanglah kepada kebijaksanaan masing-masing.

Antara buku yang saya beli di Medan, Indonesia dan Gerai Buku, Tapak Konvo USM

Saya suka membeli buku di Medan, Indonesia. Ada tiga sebab utama. Pertama, bukunya banyak. Rambang mata semenangnya akan berlaku. Kedua, kerana mereka (ahli ISDEV) yang ke kedai buku mempunyai minat yang sama dan saling membantu mendapatkan buku yang diperlukan sesama mereka. Ketiga, terdapat banyak buku yang murah-murah berbanding Malaysia.

Namun begitu, untuk membeli buku di Indonesia perkara utama yang anda perlu perhatikan ialah penulisnya. Hal ini kerana penulisnya berkemungkinan mempunyai pengaruh Islam Liberal. Begitu juga dengan mazhab akidah yang berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Saya tidak nafikan, banyak buku yang saya ingin miliki apabila diteliti isi kandungannya ia banyak berunsur aliran Syiah. Jadi bukanlah suatu perkara yang mudah juga untuk menapis setiap buku yang kita peroleh. Namun begitu, sedikit ilmu pengetahun tentang Syiah dan Islam Liberal amat membantu anda untuk memilih buku bila ke sana nanti.

Akhir kalam, kata-kata hikmah menyatakan ilmu itu letaknya di dalam hati bukan pada helaian-helaian (Al- ilmu fi sudur laisa fi sutur) dan antara buku dengan baju, ramai yang akan pilih buku berbanding pilih baju tetapi tidak ramai yang akan beli buku berbanding beli baju. Wallahu’alam…